Pages

Friday, March 11, 2011

Friday, December 24, 2010

Pokok atau Oksigen?


Manusia saling berbantah-bantah manakah yang paling membantu mereka untuk hidup, sama ada pokok atau oksigen.

- Mereka yang berpendapat pokok, berhujah dengan pokok kita memperoleh oksigen.

- Tetapi mereka yang membantah pendapat itu pula mengatakan apabila mereka berada di dalam pejabat yang tiada pokok atau berada di dalam sebuah bilik yang tiada pokok masih tetap boleh hidup dengan adanya oksigen. Jadi, oksigen yang paling membantu manusia.

________________________________________________

- Tetapi saya secara peribadi membantah kedua-dua mereka.

- Saya berpendapat Allah sebaik-baik penolong bagi manusia untuk hidup.

- Hujah saya, tanpa menghirup oksigen kita masih mampu hidup.

- Tidak percaya, cuba tutup hidung dan tahan nafas, sampai 1-2 minit kita masih mampu hidup tanpa menghirup oksigen beberapa ketika.

- Dan, yang memberikan kehidupan kita sementara ini Allah.

- Kepada-Nya juga tempat kita kembali kelak (mati).

- Hujah saya yang lain bahawa Allah yang menciptakan pokok, oksigen dan seluruh alam semesta.

Wallahu a'lam bis shawab. Maha Suci Allah. Dan Allah Maha Besar.
_______________________________________________

Semoga kita rajin beribadah kepada Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa tanpa mempersekutukan-Nya sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t..

Sunday, October 10, 2010

Sayang Palestin..

Alhamdulillah, setelah selesai membaca kitab Ibanatul Ahkam Syarh Bulughul Maram saya terus berminat untuk melanjutkan pembacaan berkaitan isu-isu semasa pula. Baru-baru ini kita telah dikejutkan oleh Media Massa akan perkhabaran mengenai sekatan bantuan kepada rakyat Palestin oleh tentera Zionis Yahudi. Khabar itu sungguh menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang Yahudi, prinsip hidup dan kitab pegangan mereka. Saya cuba hadir ke perpustakaan yang berhampiran di sekitar JB. Dan mata saya terpandang suatu kitab yang memaparkan judulnya, "Talmud, Kitab Hitam Yahudi Yang Menggemparkan" karya Professor Doktor Muhammad Abdullah asy-Syarqawi [Guru Besar Perbandingan Agama & Falsafah Islam di Fakulti Darul Ulum, Universiti Kaherah (Cairo University)]. Lalu, saya mencapai kitab tersebut dan meminjamnya.

Ketika saya menulis sorotan kecil ini, saya belumpun selesai membaca kitab tersebut. Baru sahaja sampai halaman (m/s) 84. Namun, saya terfikir sejenak. Fikir untuk berkongsi sedikit mengenai apa yang telah saya baca dengan umat Islam yang lain.

Sekarang saya sudah tahu mengapa begitu sukar sekali bagi umat Islam untuk membawa Israel ke muka pengadilan dunia. Ianya adalah disebabkan pegangan kuat mereka terhadap perundangan khusus mereka sendiri.

Umumnya, ramai yang mengetahui dan mengenali bahawa orang Yahudi berpegang kepada kitab Taurat atau juga dikenali oleh penganut Kristian dengan panggilan Old Testament. Namun begitu, ramai tidak tahu bahawa mereka juga mempunyai kitab pegangan lain selain Old Testament, iaitu kitab Talmud. Menurut mereka, Old Testament merupakan undang-undang bertulis dan Talmud lah undang-undang lisan. Keduanya wajib untuk diikuti. Dan perlu diketahui bahawa mereka percaya Old Testament itu datang dari Tuhan dan Talmud pula bukanlah merupakan tulisan yang datang dari Tuhan melainkan diisi dengan perbahasan serta syarah dari para rabbi (buatan ulama-ulama) mereka.

Mereka menetapkan di dalam kitab Talmud bahawa orang-orang Yahudi tidak boleh membawa permasalahan ke muka pengadilan bukan Yahudi. Demikian kata-kata Muhammad Afandi (Musa Abul Afiyah- Dahulu beliau salah seorang pendeta Yahudi & kini telah memeluk Islam) : "Apabila terjadi persengketaan antara 2 orang Yahudi, maka keduanya wajib mengadukan masalah tersebut kepada pengadilan Yahudi juga. Jika mereka mengadukannya kepada pengadilan asing, maka mereka terhitung kafir dan penghujat Allah. Dan mereka haram menjadi pengikut agama Yahudi, meskipun pengadilan asing itu menggunakan hukum-hukum Yahudi dalam memutuskan perkara mereka. Dan bagi rabbi tertinggi harus berusaha keras menghukum pengkhianat ini dan membuat mereka kalah dalam pengadilan sekalipun dengan memakai saksi palsu."

Perkara keduanya, setelah melantik hakim Yahudi mesti meminta hakim Yahudi tersebut agar memenangkan orang Yahudi berbanding non-Yahudi. Telah disebutkan di dalam kitab Gemara (Talmud), halaman 36, Rabbi Musa bin Maimun menyebutkan: "Apabila seorang orang Mesir (non-Yahudi) dengan seorang Israel datang kepadamu membawa suatu perkara yang terjadi antara mereka berdua. Maka, usahakanlah untuk MEMENANGKAN ORANG YAHUDI! Apabila kebetulan syariat kita berpihak kepada kemashlahatan orang Yahudi itu, katakanlah kepada orang Mesir tadi, "Beginilah syariat kami memutuskan." Terlebih lagi jika hukum mereka membenarkannya, maka katakanlah kepada orang Mesir tadi, "(Malah) hukum anda sendiri juga memutuskan hukum seperti itu."

Sudah jatuh ditimpa tangga. Kasihan kita, tidak dapat membawa mereka ke muka pengadilan dunia melainkan jika setuju agar hakim mereka seorang Yahudi juga. Sudah begitu, ditambah lagi hakim Yahudi tersebut mesti berusaha memenangkan Yahudi berkenaan.

Sebenarnya orang Yahudi tidaklah memandang nyawa manusia non-Yahudi (selain Yahudi) sesuatu yang berharga. Menurut mereka, non-Yahudi sama sahaja dengan Paganis (penyembah berhala). Di dalam Talmud ada menyebutkan:

"Haram hukumnya bagi seorang Yahudi bersekongkol dengan kaum paganis (non-Yahudi) kerana dengan demikian ia telah membuat dirinya bersumpah kepada berhala. Dalam Sanhedrin halaman 63.

Dan pada Sanhedrin halaman 57 pula berbunyi begini, "Semua orang yang berada di luar agama Yahudi disebut dengan "Anak Nuh" dan terpisah dari Bani Israel. Sebab, Bani Israel beriman kepada Allah sejak munculnya Ibrahim sampai akhir masa Israel.

Dan seorang Anak Nuh (non-Yahudi) harus dihukum bunuh bila diketahui telah membunuh seseorang walaupun hanya berdasarkan keputusan seorang hakim dan hanya berdasarkan pembuktian dari seorang saksi, meskipun saksi itu adalah saudara si terbunuh sendiri. Ia juga harus dihukum bunuh bila memukul seorang wanita hamil yang menyebabkan kematian janinnya. Sedangkan seorang Israel tidak diberlakukan hukuman demikian. Ia hanya diwajibkan untuk membayar ganti rugi dalam hal ini. Seorang Israel tidak akan dihukum bunuh pada semua perkara yang mewajibkan hukum bunuh kecuali bila telah diputuskan oleh 20 orang hakim dan dengan kesaksian 2 orang saksi."

Inilah sahaja sorotan kecil yang ingin dikongsikan bersama kepada antum sekalian. Apakah ada cara lain yang anda fikirkan sedang sekarang ??? Hanya sahaja saya terdengar suara sekumpulan umat Islam (bukan semua) yang ingin berperang. "Ingin" sahaja, tidak pasti sama ada betul-betul berani keluar perang atau tidak. (^_^)

Sunday, September 19, 2010

3 Puasa Serentak


Berkata Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari dalam kitab Fathul Mu'in:
"Segolongan Ulama Mutaakhirin (terkemudian) mengeluarkan fatwa bahawa pahala puasa hari Arafah dan lainnya (maksudnya Asyura', 6 hari dalam bulan Syawal, Isnin-Khamis dll) tetap boleh diperoleh dengan melakukan puasa Fardhu (Qadho' puasa Ramadhan atau puasa Nadzar) pada hari-hari tersebut. Berselisih dengan apa yang dikatakan dalam al-Majmuk yang diikuti oleh al-Asnawi, sebagaimana dikatakan oleh an-Nawawi: Jika puasa fardhu dan sunnah-sunnah tersebut diniatkan keduanya, maka kedua-duanya tidak berhasil."

Kesimpulannya:
1) Jika saudara mahu dapatkan 3 puasa serentak = 1 fardhu & 2 sunnah, contoh puasa qodho' Ramadhan + puasa syawal + puasa hari Isnin, maka saudara hanya cukup niatkan yg puasa fardhu sahaja (niat puasa Qodho' Ramadhan).

2) Andaikata kalau nak dapat 2 puasa sunat serentak, cukup niat puasa sunat yang satu sahaja. Contoh: Ingin buat puasa sunat Syawal dengan puasa hari Isnin. Cukup niat puasa Isnin (pilih satu sahaja, atau niat puasa syawal sahaja).

Apa terjadi kalau menggabungkan niat..?? Seperti kata Imam an-Nawawi dan diikuti oleh al-Asnawi tadilah...tidak berhasil akan ia.

Daripada Abu Salamah radhiyallahu 'anhu berkata bahawa dia mendengar Saidatina Aisyah Radhiyallahu anha berkata: "Aku masih ada hutang puasa Ramadhan. Tetapi aku belum membayarnya sehingga tiba bulan Sya'ban barulah aku bayar."
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Jadi, hadis ini menunjukkan Saidatina Aisyah menjalankan ibadah qodho' puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban (bulan yang disunnatkan berpuasa kerana pada bulan tersebut Rasulullah shallallahu alaihi wasallam banyak berpuasa, apabila ditanya mengapa? Rasulullah s.a.w. menjawab kerana amal diangkat pada bulan tersebut, maka aku suka jika amal diangkat ketika aku sedang berpuasa). Hadis tentang ini adalah riwayat Imam Ahmad dan Imam an-Nasa'i.

Wallahu a'lam bis shawab.

Thursday, August 19, 2010

Persoalan: Anjing, Najis Atau Tidak..???


Sumber hukum Islam tidak sekadar al-Qur'an bahkan Hadis juga.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Sucinya tempat air seseorang di antara kamu bila dijilati anjing adalah dibasuh tujuh kali, basuhan pertama dengan air tanah." Dikeluarkan oleh Muslim.
Menurut riwayat at-Tirmidzi: "Basuhan terakhir atau permulaan."

Menurut Imam Malik rahimahullah, anjing tidak najis sebab bagaimana boleh dikatakan najis padahal Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengharuskan berburu binatang dengan anjing..??? Dan menurut Imam Malik lagi, hadis di atas itu bukan bermaksud najis, tetapi ianya merupakan ibadah berbentuk taabudiyyah.

Menurut para ulama madzhab Syafi'i pula, anjing itu najis. Sebab hadis berkenaan menyatakan air liur anjing itu wajib dibasuh dengan tujuh basuhan, dan salah satu basuhan dengan air tanah. Para ulama madzhab Syafi'i membuat perkaitan dengan hadis basuhan yang lain.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: "Seorang Arab Badwi (pedalaman) datang lalu kencing di sudut masjid. Orang-orang (yang ada) sama-sama menengkingnya, lalu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam melarang mereka. Setelah selesai kencing, Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar diambil setimba air lantas ditumpahkan pada bekas kencing itu." Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Berdasarkan hadis ini, air kencing itu najis sebab perlu dibasuh ke atasnya.

Cuba bayangkan, betapa mungkin anjing tidak najis, padahal perlu dibasuh tujuh kali basuhan dan satu basuhan dengan menggunakan air tanah...???

Kesimpulannya, dalam Madzhab asy-Syafi'i, anjing itu najis.

Apapun, kedua Imam Madzhab (Malik dan Syafi'i) setuju apabila sesuatu terkena jilatan anjing maka perlu dibasuh 7 kali.

Pendapat Imam Malik pun dikira kuat. Tetapi masih ada pertanyaan. Apakah jika anjing buruan tangkap binatang, binatang yg ditangkap itu perlu dibasuh..???

Sebab Imam Malik perlu ingat, walaupun beliau tidak menganggap anjing itu najis, tetapi beliau menganggap basuhan 7 kali bagi sesuatu yang terkena jilatan anjing sebagai taabudiyyah.

Maka, kena basuh juga kan!

Lalu, apakah perbezaannya lagi ini??

Melainkan perbezaan tanggapan sahaja sama ada najis atau tidak.

Wallahu a'lam bis shawab...

Rujukan:
1. al-Fiqh al-Manhaji 'ala Madzhab asy-Syafi'i.
2. Ibanatul Ahkam Syarh Bulughul Maram.

Friday, July 16, 2010

Baca Surah Yasin Malam Jumaat

Secara ringkas saya katakan baca surah Yasin pada malam Jumaat Sunat, yakni akan mendapat pahala jika dikerjakan. Ini disebabkan perintah membaca mana-mana ayat al-Qur'an itu umum tanpa terikat dengan MASA.

Selagi seseorang itu tidak iktiqadkan:
"Aku haramkan diriku membaca surah Yasin pada masa-masa lain melainkan malam Jumaat sahaja".

Ada juga yang mengatakan bid'ah jika baca surah Yasin malam Jumaat kerana bercanggah dengan galakan sahabat Abu Sa'id alKhudri yang meriwayatkan hadis:

"Barangsiapa baca surah alKahfi pada malam Jumaat, maka akan memancar cahaya antara dirinya dengan Kaabah". Hadis ini bertaraf Hasan.

Saya katakan: Hadis berkenaan secara zahir kelihatan bercanggah. Tetapi, perlu diteliti dengan lebih jelas lagi.

Hadis yang menggalakkan membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu hukumnya Sunat. Bukan Wajib.

Apakah boleh perkara sunat, yakni membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat menegah atau mengharamkan perkara sunat yang lain, yakni membaca surah Yasin pada malam Jumaat...??

Padahal, surah Yasin termasuk surah di dalam al-Qur'an, dan membaca al-Qur'an itu hukumnya Sunat, mendapat pahala jika dikerjakan.
______________________________________

Kesimpulannya, menurut saya:

1) Jika mahu membaca al-Qur'an buat orang yang meninggal dunia, maka lebih utama membaca surah Yasin pada malam Jumaat. Berdasarkan hadis Rasululullah s.a.w. bersabda: "Bacakanlah surah Yasin buat orang yang meninggal dunia di antara kamu."

Hadis ini menurut sebahagian ulama hadis bertaraf Daif, namun Imam Abu Daud tidak mendaifkannya, dan Syeikh Ibnu Hibban mensahihkannya. Di tambah dengan perbuatan para ulama hadis lain yang memang mensunnatkan membaca surah Yasin buat orang yang meninggal dunia, atau surah al-Baqarah atau seluruh ayat al-Qur'an. Ulama hadis yang mensunnatkan ialah Imam an-Nawawi berdasarkan peribadinya yang menukil hadis berkenaan ke dalam kitabnya al-Adzkar, juga Imam al-Baihaqi yang meletakkan hadis berkenaan ke dalam tajuk "Apa yang disunnatkan baca kepada orang yang meninggal dunia", juga Amirul Mukminin fil Hadis, iaitu Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani yang memasukkan hadis berikut ke dalam kitabnya Bulughul Maram dalam Kitab Janazah.

2) Akan tetapi, jika mahu mendapatkan lebih banyak pahala, lebih utama jika membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat. Sebab:

- Semakin panjang sesuatu surah, semakin banyak dapat ganjaran pahala.
- Mendapat cahaya yang memancar antara dirinya dengan Kaabah.

Wallahu a'lam bis shawab...



Wednesday, July 14, 2010

Siapa "Ulama"...??

Menurut saya, seorang alim salah seorang ulama. Ini kerana alim & ulama itu sama saja. Apa yang membezakan ialah "Alim", seorang (singular). "Ulama", ramai (plural). Terkadang bagi memuliakan seorang yang benar-benar dirasakan alim, maka "alim" tadi dipanggil "ulama" juga. Ini disebabkan penghormatan yang paling tinggi diberikan. Seolah-olah kealiman syeikh tadi menyamai dengan kealiman beberapa orang (lebih daripada 3 orang). Sepertimana kita sering mengucapkan salam "Assalamualaikum". "Kum" yang dibelakang itu bermaksud ramai, padahal kita hanya memberi salam kepada seorang sahaja. Namun, "Kum" itu bagi menunjukkan penghormatan kita kepada orang berkenaan bahawa menurut kita dia itu merupakan insan yang kita muliakan. Islam menggalakkan sifat hormat-menghormati. Jadi, tidak ada masalah jika kita mengucapkan salam "Assalamualaikum" dengan niat menghormati seseorang.

Seterusnya saya akan berkomentar pula mengenai "Ulama". Secara ringkas, ulama ialah:
1) Seorang alim yang mengetahui selok belok agama meliputi Akidah, Ibadah & Akhlak terutamanya.
2) Seorang alim yang mengetahui sumber-sumber hukum agama. Al-Qur'an, as-Sunnah, Ijmak & Qiyas.
3) Seorang alim yang tahu perkara-perkara yang diperselisihkan (Ikhtilaf) dalam berbagai madzhab, dan bersikap toleransi. Maksudnya, dia masih bermadzhab, namun tidak sampai menafikan madzhab-madzhab lain, bahkan bersikap memahami hujah berbagai madzhab. Orang alim ini juga tahu perkara-perkara yang disepakati sebagai BID'AH (DOLALAH). Dan turut menolak segala bid'ah yang menyesatkan.
4) Seorang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t.
5) Seorang yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. di dunia ini & akhirat kelak.
6) Seorang yang sudah tahu nasikh mansukh, ijmak ulama, am & khas, mujmal mubayyan, mutlaq muqayyad, Tarjih, asbabun nuzul dan asbabul wurud, cara-cara qiyas, mengetahui semua ayat-ayat al-Qur'an dan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengandungi hukum syariat Islam. Mengetahui Ushul al-Fiqh, Ulum al-Qur'an dan Ulum al-Hadith. Cukup ini sahaja sudah memadai seseorang itu dipanggil mujtahid. Dan mujtahid inilah yang biasa sekali digelar sebagai "Ulama".

Dikatakan "Ulama" ada yang baik dan buruk. Namun, saya tidak kenal mana-mana ulama yang buruk dalam Madzhab Syafi'e. Apapun, aliran dalam Islam sungguh banyak. Hanafi, Maliki, Syafi'i, Hanbali, Salafi, Syiah, Muktazilah, Khawarij, Qadariyyah dan lain-lain...
_______________________________________________

Wallahu a'lam bis shawab.